Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mendedahkan dia sudah bersedia untuk melakukan sesuatu dalam jendela perpindahan Januari ini.

Mason Greenwood menghasilkan dua gol gemilang ketika pasukan itu menewaskan AZ 4-0 untuk menjuarai peringkat Kumpulan L, Liga Europa, sekali gus meneruskan rentetan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur dan Manchester City dalam kejohanan domestik sebelum ini.

Solskjaer mempertaruhkan Greenwood dan beberapa pemain remaja lain sepertimana yang diharapkan penyokong United, namun bersedia untuk memperkukuhkan skuadnya dengan memanfaatkan jendela perpindahan pertengahan musim ini.

"Kami mahu memperkasakan banyak posisi," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Jika anda melihat kepada skuad kami berbanding pasukan lain, kami mampu bersaing tetapi memerlukan dua atau tiga pemain lagi untuk melakukan penggiliran sepanjang musim ini.

"Jadi, kami akan melihat siapa yang akan ditandatangani," katanya.

Tanpa mengira siapa yang akan dibawa masuk, Solskjaer masih memiliki pemain berbakat seperti Greenwood yang amat gembira untuk digunakannya dengan lebih kerap di pentas terbesar.

"Dia bermain ketika menentang Tottenham dan amat berkelas.

"Saya tidak takut untuk menurunkannya dalam Liga Perdana Inggeris.

"Saya tidak takut langsung.

"Tetapi ia tentang berkongsi minit permainan dan mencari minit yang tepat buatnya.

"Sudah pasti dia sudah bersedia untuk bermain dalam Liga Perdana," tambahnya.