Solskjaer mahu saya kekal di United -- Lukaku

Oleh Staff Writer 17 November 2019 3847
Solskjaer mahu saya kekal di United -- Lukaku
Romelu Lukaku mendakwa Ole Gunnar Solskjaer mahu mengekalkan khidmatnya di Manchester United, bercanggah dengan kata-kata pengurus The Red Devils itu yang gembira melepaskan pemain kebangsaan Belgium itu menyerati Inter, Ogos lalu.

Solskjaer memberitahu Sky Sports bahawa permulaan musim dengan kekurangan penyerang ekoran penghijrahan Lukaku merupakan "keputusan yang dilakukan dengan senang hati" tetapi Lukaku berkata ada masa pengendali United itu tidak merelakan perpindahannya.

Inter membayar United GBP74 juta (RM396 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ogos lalu, menamatkan spekulasi mengenai masa depan penyerang itu.

Tetapi dalam sesi temu bual bersama Het Belang van Limburg, Lukaku berkata perpindahannya telah diputuskan pada permulaan Mac lagi.

"Saya amat menghormati Solskjaer," kata Lukaku.

"Beliau memahami saya ketika kami berbincang pada Mac bahawa sudah tiba masa untuk saya berhijrah.

"Saya sudah beraksi dalam EPL sejak berusia 18 tahun dan kini sudah berusia 26. Solskjaer mahu mengekalkan saya tetapi saya sudah bersedia untuk mengharungi cabaran baru."

Lukaku telah menjaringkan sembilan gol dalam 12 penampilan bagi saingan Serie A untuk Inter tetapi menjadi sasaran isu perkauman ketika berdepan penyokong Cagliari, September lalu.

Dia menyedari apa yang perlu diharungi apabila tiba di Itali dengan menegaskan dia menikmati masanya bersama Inter.

"Saya mengetahui ia akan berlaku. Saya sudah bersedia kerana telah bercakap dengan pemain-pemain lain mengenainya.

"Tetapi saya menikmati Itali ketika ini. Orang ramai di jalanan bersikap baik terhadap saya dan ia membantu saya untuk fokus."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen