Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Chelsea dalam aksi pusingan kelima Piala FA awal pagi tadi sebagai sesuatu yang hebat setelah mereka tewas di tangan Paris Saint-Germain (PSG) bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Rekod tanpa kalah United di bawah bimbingan pengurus sementara, Solskjaer, ditamatkan oleh PSG ketika aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara minggu lalu tetapi The Red Devils bangkit melupakan kekalahan itu untuk menewaskan Chelsea di Stamford Bridge.

Jaringan daripada Ander Herrera dan Paul Pogba membantu United meraih kemenangan ke-11 daripada 13 perlawanan dalam semua kejohanan sejak pelantikan Solskjaer, Disember lalu.

"Sudah tentu ia keputusan hebat," kata Solskjaer.

"Anda mahu melihat reaksi ini. Pemain tampil hebat ketika sesi latihan. Kami yakin menuju ke perlawanan ini dan menemui percaturan terbaik.

"Terdapat keseimbangan setelah tewas dalam perlawanan sebelum ini, jadi hari ini sangat hebat."

Herrera membuka tirai jaringan selepas setengah jam perlawanan di Stamford Bridge sebelum Pogba menambah gol kedua sebelum rehat bagi membolehkan United -- yang tewas di tangan Chelsea di pentas final musim lalu -- meraih kemenangan pertama di tempat lawan buat kali pertama sejak 2012.

Diundi bertemu Wolverhampton Wanderers di peringkat suku akhir, Solskjaer menambah: "Kami tewas di tangan Chelsea dalam final musim lalu.

"Perlawanan terakhir saya berkesudahan dengan kekalahan di tangan The Blues dalam final Piala FA. Kali terakhir kami menundukkan mereka dalam kejohanan ini adalah 20 tahun lalu. Jadi, kami mahu ke final.

"Aksi di tempat lawan menentang Wolves pastinya akan sukar tetapi kami serta peminat sukakan perlawanan sebegitu. Ia seperti beraksi di laman sendiri apabila penyokong sentiasa berada di belakang gawang."