Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United tidak boleh bersikap sambil lewa dalam misi Piala FA berikutan usaha memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) bukan lagi realistik.

United akan menyambut kunjungan Wolves ke Old Trafford awal pagi esok untuk aksi timbal balik pusingan ketiga Piala FA tatkala The Red Devils dipisahkan 27 mata dengan pendahulu liga, Liverpool, dalam kempen liga.

Dengan United menghuni tangga kelima dan bergelut untuk menyerlahkan aksi tekal, pengurus itu sedar kelabnya tidak boleh mengabaikan Piala FA.

"Penyokong dan kelab sama-sama tidak gembira atas kegagalan mencabar kedudukan teratas liga," katanya.

"Itulah kedudukan kami yang sepatutnya dan ramai penyokong hari ini pernah melalui detik kami memenangi liga secara berterusan.

"Pada masa ini, kami tidak mempunyai pasukan seperti itu untuk mencabar kejuaraan memandangkan ketika ini kami agak ketinggalan dengan pencabar utama.

"Ia mungkin bermula dengan memenangi pertandingan piala dan kemudian kelompok pemain ini akan mula berasakan nikmatnya. Tetapi bukan itu yang kami mahukan.

"Kami mahu mencabar EPL dan Liga Juara-Juara (UCL)."

Sementara itu, pengurus berbangsa Norway itu mengesahkan United telah membatalkan rancangan untuk mengadakan lawatan ke Timur Tengah bagi kem latihan ekoran ketegangan politik di rantau berkenaan.

Qatar merupakan lokasi yang berpotensi buat United, yang mempunyai tempoh 15 hari untuk melakukan persiapan menghadapi Wolves (1 Februari) dan Chelsea (17 Februari) bagi aksi liga bulan depan.

Begitupun, gergasi Liga Perdana berkenaan memilih untuk tidak berkunjung ke sana dengan Solskjaer memberitahu pemberita: "Saya akan memberikan mereka rehat selama beberapa hari, saya tidak tahu di mana pemain akan menghabiskan masa tetapi kami akan kekal di Eropah.

"Ya (kami telah mengubah fikiran). Jika ada satu perkara yang membimbangkan saya, ia bukanlah di padang. Ada perkara yang perlu saya khuatiri berbanding bola sepak.

"Kami mempertimbangkan Timur Tengah tetapi itu tidak akan berlaku."




Editor: Shaiful Shamsudin