Ole Gunnar Solskjaer berkata dia tidak boleh berbuat apa-apa mengenai pergelutan Alexis Sanchez untuk menyerlahkan prestasi terbaiknya di Manchester United.

Sanchez memaparkan satu lagi prestasi buruk ketika dimasukkan darip bangku simpanan ketika United tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di Old Trafford, awal pagi tadi.

Sanchez menggantikan Jesse Lingard dalam babak pertama dan pemain dari Chile itu gagal memberikan aksi berkesan, sekali gus meningkatkan lagi keraguan terhadap masa depannya selepas United mengalami kekalahan pertama mereka di bawah kendalian Solskjaer.

Ditanya mengenai Sanchez -- yang hanya mencetak lima gol sejak tiba dari seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, pada Januari tahun lalu -- pengurus sementara, Solskjaer, memberitahu pemberita: "Saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang Alexis. Dia perlu mencari diri sendirinya kerana kita semua tahu dia mempunyai kualiti tersebut."

Lingard dan Anthony Martial ditimpa kecederaan ketika United dijinakkan juara Perancis, PSG, yang meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit babak kedua menerusi Prapel Kimpembe dan Kylian Mbappe sementara aksi tuan rumah itu diburukkan lagi dengan insiden kad merah Paul Pogba di penghujung perlawanan.

"Jesse dan Anthony telah beraksi dengan baik tetapi dalam separuh masa kedua, kami tidak mencipta banyak gerakan dan sukar menembusi pertahanan lawan," tambah Solskjaer yang akan menilai kecergasan Lingard dan Martial selepas beberapa hari.

"Juan (Mata) mungkin telah mencipta beberapa gerakan menarik tetapi kami mungkin perlu mencari pendekatan baru tatkala Anthony dan Jesse tersisih.

"Kami pasti akan bangkit, kami perlu bangkit. Kami beraksi dalam saingan UCL yang sentiasa sukar. Kami masih mempunyai kempen liga dan Piala FA, masih ada banyak lagi perlawanan yang ditawarkan tetapi saya tidak takut dengan reaksi di bilik persalinan.

"Kami akan ke Paris dan kami akan mencurahkan segala kudrat. Ia usaha yang menggunung tinggi tetapi ia tidak mustahil.

"Kami perlu mencuba dan mencari gol pendahuluan dalam babak pertama. Kami akan mempersiapkan diri sempena pertemuan seterusnya. Kami adalah Man United dan kami akan sentiasa bangkit."

Pengurus United tersebut turut memuji jaringan Mbappe dengan mengungkapkan: "Tentang lariannya ke dalam kotak penalti, bagi semua penyerang dan jurulatih, itulah cara yang tepat untuk anda menerpa ke dalam kotak penalti."

"Jangan beri dia ruang itu untuk masuk tetapi lariannya sepantas kilat. Anda perlu memastikan posisi anda untuk menghalangnya tetapi saya tidak pernah menjadi pemain pertahanan terbilang, jadi anda perlu bertanya kepada mereka bagaimana untuk mengekangnya."