Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, meramalkan Barcelona akan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Skuad bimbingan Solskjaer itu disingkirkan Barca di peringkat suku akhir selepas dua jaringan Lionel Messi untuk memastikan kemenangan 3-0, awal pagi tadi.

Jaringan jarak jauh Philippe Coutinho melengkapkan kemenangan agregat 4-0 dan memastikan harapan Barca menjulang 'treble' diteruskan.

Ditanya mengenai peluang Barcelona menjelang aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Liverpool atau Porto, Solskjaer memberitahu, "Saya berasakan Barcelona akan menang.

"Kualiti dimiliki jentera serangan mereka, Ousmane Dembele dan Malcom, beberapa pemain daripada bangku simpanan.

"Saya berasakan mereka adalah pilihan untuk muncul juara."

Tumpuan United kini terarah untuk memastikan slot empat terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dengan berbaki lima perlawanan, United kini di tangga keenam dan ketinggalan dua mata kepada penghuni tangga keempat Arsenal.

United akan berkunjung ke Everton Ahad ini sebelum berdepan Manchester City (24 April) dan Chelsea (28 April) di Old Trafford.