Pengendali Real Madrid, Santiago Solari, sukakan Isco sebagai seorang pemain tetapi menegaskan bahawa sukar untuk memberi jaminan bermain melainkan dia berada di tahap terbaik.

Isco masih belum memulakan perlawanan LaLiga di bawah bimbingan Solari dan bergelut mendapatkan prestasi terbaik susulan mengalami bengkak di bahagian apendiks awal musim ini.

Perancang tengah itu menjadi tumpuan ketika kekalahan 3-0 di tangan CSKA Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu, selepas menunjukkan reaksi marah kepada penyokong akibat diejek.

Walaupun Solari menyatakan rasa sukanya terhadap pemain Sepanyol itu, dia memberi bayangan bahawa Isco perlu meningkatkan tahap konsisten untuk memastikan tempat dalam barisan utama.

"Saya sukakan Isco," kata Solari.

"Namun, tugas saya adalah memastikan semua pemain berada di tahap terbaik. Sesiapa yang gagal melakukannya tidak akan dapat beraksi.

"Menjadi satu tugas sukar untuk memilih nama yang akan beraksi serta yang akan diketepikan.

"Saya lihat Isco dan pemain lain mempamerkan semangat ketika sesi latihan."