Tomi Juric dan Australia tetap yakin mampu ke peringkat kalah mati Piala Dunia di Russia selepas Socceroos hampir mengejutkan Perancis dalam perlawanan pertama.

Anak buah Bert van Marwijk menempuhi detik malang di Kazan ekoran tewas tipis 2-1 kepada Perancis dalam aksi Kumpulan C, minggu lalu.

Dalam keadaan kontroversi itu, Video Bantuan Pengadil (VAR) membantu Les Bleus apabila Antoine Griezmann dianugerahkan penalti pada babak kedua susulan terjahan Josh Risdon, sementara teknologi VAR sekali lagi menjadi penentu nasib Australia setelah memberikan cabaran mengagumkan kepada pencabar utama Piala Dunia 2018 itu.

Australia sudah membuktikan bahawa mereka mampu menyaingi pasukan terbaik menjelang pertemuan dengan Denmark di Samara pada Khamis ini. Sehubungan itu, penyerang Juric tetap optimis mengenai peluang kemaraan Socceroos.

"Saya fikir (penolong jurulatih dan bekas pemain tengah AC Milan) Mark van Bommel, menerima mesej daripada salah seorang bekas rakan sepasukannya, Thiago Silva. Silva memuji permainan kami ketika menentang pencabar utama (Perancis), " kata Juric, yang diletakkan di bangku simpanan kali ekoran masalah lutut yang dihadapi sebelum kempen Piala Dunia.

"Peluang masih terbuka untuk direbut dan saya sangat positif mengenai peluang kami untuk meloloskan diri di peringkat kumpulan."

Bergantung kepada keputusan perlawanan di antara Perancis menentang Peru, Denmark tetap berpeluang mengesahkan tempat dalam pusingan 16.

Persembahan Denmark jauh daripada meyakinkan namun kemenangan 1-0 ke atas Peru -- yang kembali mewarnai Piala Dunia selepas 36 tahun -- mencerahkan laluan mereka.

Serangan balas dan penyudah Yussuf Poulsen memberikan Denmark tiga mata selepas Peru gagal menyempurnakan peluang penalti pada babak pertama sambil wakil Amerika Selatan itu menghasil banyak peluang untuk menguji Denmark.

Sementara itu, pemain Denmark, Christian Eriksen, berkata: "Bagus untuk melihat kami masih mampu menang walaupun persembahan yang dipamerkan tidak menarik untuk ditonton."

Denmark akan turun tanpa pemain tengah, William Kvist, untuk baki kempen susulan patah tulang rusuk semasa berdepan Peru.

PEMAIN TUMPUAN:

Denmark: Yussuf Poulsen

Semua mata akan tertumpu kepada Christian Eriksen sambil keupayaan Yussuf Poulsen mula dikagumi. Selepas menghadiahkan penalti kepada Christian Cueva (tendangan itu tidak menepati sasaran), bintang RB Leipzig itu membuat perbezaan apabila kepantasan dan ketepatannya di hadapan gol akan terus dituntut.

Australia: Mathew Leckie

Socceroos sukar menjelmakan ancaman bermutu sambil kedua-dua bahagian sayap gagal mencipta ruang seperti yang diharapkan ketika berdepan Perancis. Bagaimanapun, penyerang Australia dan Hertha Berlin, Mathew Leckie, boleh menjadi kunci untuk membuka laluan mereka ke pusingan seterusnya. Dengan kepantasan dan stamina, bintang Australia perlu diberikan peranan lebih besar selepas sukar bergerak ketika berdepan Perancis.