Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari (PDMD) bawah 18 tahun anjuran Kumpulan Perangsang Selangor (Perangsang Selangor).

Aksi akhir yang berlangsung di Arena MPSJ, Sabtu lalu itu menyaksikan SMK Dato’ Harun mengalahkan SMK Tropicana 7-0 dan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Pasukan di tempat kedua pula membawa pulang RM7000, ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000.

Sebanyak 32 pasukan sekolah menengah melibatkan 576 pemain dari seluruh Selangor menyertai edisi kelima kejohanan itu yang melibatkan pemain remaja bawah 18 tahun.

Kejohanan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perangsang Selangor di bawah program Rangsangan Sukan Selangor (RSS).

Pengerusi Kejohanan PDMD Datuk Emran Kadir berkata sejak penganjuran edisi pertama sehingga kini, Perangsang Selangor telah menaja sebanyak RM700,000 dalam usaha untuk melahirkan pemain muda berusia 13 hingga 18 tahun.

“Banyak kelab bola sepak di luar sana memang menantikan kejohanan ini yang dianggap sebagai antara platform untuk memilih pemain-pemain baru dari peringkat akar umbi,” katanya kepada Bernama.

Sehingga siri keempat penganjuran kejohanan, lebih 90 pemain telah dilahirkan dan kini bermain untuk kelab-kelab utama dalam negara, katanya.

“Akan datang, Perangsang Selangor akan menganjurkan Kejohanan PDMD bagi kategori bawah 15 tahun yang dijangka bermula selepas peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini,” kata Emran.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Suzila Khairuddin, yang turut menyaksikan perlawanan akhir itu berkata bagi tahun ini, kumpulan telah membelanjakan kira-kira RM150,000 untuk menaja kejohanan itu.

Perangsang Selangor, katanya, aktif dengan program-program CSR di bawah program RSS sejak 2011 lagi dengan perbelanjaan kira-kira RM30 juta.

"Di bawah RSS, terdapat lapan sukan lain antaranya bola sepak, boling, renang, badminton, berbasikal, skuasy, sepak takraw dan memanah,” katanya.