Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan perlawanan di antara Korea Utara dan Malaysia dalam saingan Kumpulan B, pusingan ketiga kelayakan Piala Asia pada 28 Mac depan tetap berlangsung di Pyongyang.

Hamidin berkata, kes kematian Kim Jong Nam yang juga abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur II (KLIA II) kelmarin tidak akan menjejaskan jadual perlawanan itu.

Katanya, FAM juga sentiasa memantau tahap keselamatan buat skuad kebangsaan ke Pyongyang dengan merujuk kepada Wisma Putra dan juga Kedutaan Besar Malaysia di sana.

Ini juga adalah kali pertama skuad negara akan berdepan Korea Utara di Pyongyang.

"Pasukan akan ke Pyongyang seperti yang telah dijadualkan. Jika ada sebarang pertukaran, pihak AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) akan menghubungi kami," katanya.

Dalam pada itu, Hamidin mengesahkan, jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, ada membuat permohonan untuk mengadakan latihan pusat lebih awal pada 11 Mac depan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu memerlukan kelulusan badan pentadbir liga, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), kerana ia akan menangguhkan aksi liga pada 13 dan 18 Mac depan.

"Kami akan berdepan Filipina pada 22 Februari, sebelum menghadapi aksi kelayakan di Korea Selatan."