Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengakui penyerang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ali Ahmed Mabkhout Mohsen Omaran Alhajeri sebagai ancaman utama kepada pasukannya di sebalik tumpuan diberikan kepada perancang tengah, Omar Abdulrahman Ahmed Al Raaki Al Amoodi, untuk pertemuan kedua-dua pasukan, malam.

Pertemuan menentang UAE merupakan ujian paling getir buat anak buah Cheng Hoe untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Apa tidaknya, mereka berdepan sebuah pasukan yang mempunyai kekuatan jitu dalam pelbagai aspek menerusi barisan pemain berkualiti dalam setiap posisi.

Selain Omar selaku perancang tengah, kelibat Ali juga menghadirkan gerun kepada lawan selepas penyerang itu muncul penjaring terbanyak UAE dalam Piala Asia 2019.



"Ali merupakan seorang penyerang yang berbisa dan penjaring terbanyak dalam saingan Piala Asia. Jadi kami perlu lebih fokus terutama mengelak daripada hilang kawalan bola dalam perlawanan malam ini," kata Cheng Hoe.

Bagaimanapun, tiada alasan buat skuad negara untuk tidak menghadirkan tentangan sengit kepada UAE selepas mereka berupaya menyaingi Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Bukit Jalil, 30 Ogos lalu.

"Berdepan Jordan merupakan penanda aras buat skuad negara. Jika Malaysia mampu mengekalkan tumpuan, tidak mustahil keputusan positif dapat diraih."