MALAYSIA 0 KYRGYZSTAN 1

Skuad bola sepak senior kebangsaan gagal meraih kemenangan ketiga berturut-turut sebaik tewas 0-1 kepada Kyrgyzstan dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, sebentar tadi.

Malaysia menewaskan Kemboja 3-1 bulan lalu sebelum sekali lagi mempamerkan aksi terpuji menerusi kemenangan 4-1 ke atas Sri Lanka, Jumaat lalu.

Namun, lawan kali ini jelas lebih sukar memandangkan Kyrgyzstan menduduki ranking ke-91 dunia, 80 anak tangga di atas Malaysia yang sekadar menghuni kedudukan ke-171.

Bagaimanapun, aksi terpuji dipamer skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila menguasai keseluruhan babak pertama sambil beberapa kali mengancam kubu lawan, khususnya pada lima minit terakhir babak tersebut.

Norshahrul Idlan Talaha hampir meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-29, namun sepakannya sekadar menggegar palang gol lawan.

Zaquan Adha Abdul Radzak turut memperoleh peluang sama pada minit ke-41, malangnya tandukan yang dihasilkan diselamatkan penjaga gol lawan.

Dua minit selepas itu, giliran Syahmi Safari melakukan percubaan jarak jauh yang tersasar di bahagian kiri gawang.

Norshahrul sekali lagi memperoleh peluang terbaik sebelum tamat babak pertama, bagaimanapun palang sekali lagi menjadi penghalang jaringan pertama skuad negara.

Aksi dalam babak seterusnya jelas memberi kesukaran buat skuad negara.

Kyrgyzstan mula mempamerkan belang sebenar mereka dengan paparan penguasaan yang lebih baik.

Gawang negara nyaris dibolosi pada minit ke-60.

Berpunca daripada satu sepakan percuma Batyrkanov Ernist, Khairul Fahmi Che Mat gagal menangkap kemas percubaan tersebut. Mujur tiada sebarang susulan yang mampu dihasilkan pelawat.

Gawang negara bocor juga lapan minit selepas itu.

Kealpaan barisan pertahanan mengundang padah sebaik hantaran terus yang dihasilkan Musabekov Farhat terbias ke kaki Irfan Zakaria yang menggagalkan perangkap ofsaid skuad negara sebelum disudahkan Sagynbaev Bekhzan.

Walaupun pelawat beraksi dengan 10 pemain selepas itu, percubaan terbaik skuad negara hanya tiba di penghujung permainan menerusi sepakan lemah Akhyar Rashid yang gagal menembusi kubu lawan.

Bagi Cheng Hoe, dia berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan skuad negara.

"Skuad negara mempamerkan perkembangan positif. Kami menguasai perlawanan, malangnya tiada penyudah dihasilkan.

"Apabila Kyrgyzstan memperoleh peluang, mereka menghasilkan gol. Jadi, masih banyak untuk diperbaiki pasukan dari semasa ke semasa," katanya.

Bercakap mengenai penyerangnya, Mohamadou Sumareh, ini pandangan Cheng Hoe: "Memang jelas, terutama pada babak pertama, Sumareh menjana serangan dari sebelah kanan.

"Namun, dalam bola sepak perkara utama adalah menjaringkan gol."