Skuad B-23 Malaysia ujian terbaik kami -- Meulensteen

Oleh Staff Writer 17 Mac 2019 2824
Skuad B-23 Malaysia ujian terbaik kami -- Meulensteen
Dominic Tan, Faisal Abdul Halim dan R. Kogileswaran hanya perlu fokus kepada saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 minggu depan apabila khidmat mereka bermungkinan diketepikan dalam aksi persahabatan menentang Australia malam ini ekoran kecederaan.

Pengendali, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan tiga pemain terbabit mengalami kecederaan ringan dan akan pulih sepenuhnya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi.

Khidmat mereka pastinya diperlukan dalam aksi sebenar yang bermula 22 Mac ini dan peluang hanya akan diberi kepada beberapa pemain yang kurang beraksi terlebih dahulu sempena aksi persahabatan itu.

Kim Swee tidak terlalu mengutamakan keputusan positif dalam aksi tersebut, sebaliknya corak perlawanan yang memberangsangkan ditagih untuk dinilai semula sebelum sepak mula berdepan Filipina.

"Kecederaan ringan memerlukan tempoh sehari-dua untuk pulih.

"Saya akan melihat perkembangan mereka dalam tempoh tiga-empat hari ini sebelum saya menamakan skuad 23 pemain untuk kelayakan Kejohanan AFC.

"Kami tidak pernah menentang Australia dan kami sedar mereka kini dilatih oleh bekas penolong (Graham Arnold) kepada jurulatih China, Guus Hiddink, dan saya percaya mereka mempunyai konsep yang sama untuk mengharungi kejohanan sebenar," kata Kim Swee.

Penolong jurulatih Australia, Rene Meulensteen, pula mahu anak buahnya menganggap aksi persahabatan malam ini ibarat perlawanan sebenar Kumpulan H bagi memburu kemenangan yang boleh dijadikan bekalan semangat sebelum mereka berlepas ke Kemboja minggu depan.

"Malaysia lawan sempurna buat kami sebelum kami beraksi di Kemboja.

"Perlawanan ini boleh dijadikan ujian realistik kepada kami untuk mengenal pasti perancangan masa depan," kata Meulensteen.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen