Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi amaran kepada pemain skuad B-22 negara bahawa mereka perlu segera bangkit sekiranya tidak mahu dilanda musibah dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 2019 di Kuala Lumpur, Mac depan.

Kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 tahun ini menawarkan tiket awal untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan melihat Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi kempen kelayakan itu nanti, pemain negara bagaimanapun gagal menunjukkan karakter sebagai sang juara.

Ia berdasarkan prestasi awal mereka apabila tewas dalam tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Ia mengundang kebimbangan FAM tatkala skuad muda negara mempunyai dua bulan sahaja lagi untuk menghadapi misi penting itu.

"Saya belum dapat laporan daripada pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee, dan kami harap dia serta anak buahnya mampu bangkit Mac nanti.

"Bagaimanapun, perlu diingat bahawa sebahagian besar pemain berada dalam liga pada waktu itu dan Kim Swee masih mencari pemain lain untuk diketengahkan," kata Hamidin.