Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengadakan sesi latihan terakhir hari ini dan sudah mengenal pasti 23 pemain untuk dibawa ke Bangkok untuk tiga aksi persahabatan dari 30 Mei hingga 5 Jun depan.

Skuad kali ini tanpa kelibat dua pemain tonggak, Nik Akif Syahiran Nik Mat dari Kelantan dan penyerang muda Kedah, Akhyar Rashid, kerana komitmen dengan pasukan masing-masing dalam Liga Super.

Namun, Hodak percaya dia masih mempunyai barisan seimbang dengan kehadiran pemain seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak, Zafuan Azeman dan A. Shivan Pillay.

"Kami memiliki beberapa pemain muda yang mampu mempamerkan aksi terbaik dalam penampilan pertama. Barisan serangan juga menerima suntikan setelah Hadi kembali, jadi akan ada pemain tersingkir. Hadi dan Zafuan Azeman akan mengetuai barisan depan negara," kata Hodak.

Jurulatih itu juga tidak gusar tanpa beberapa tonggak kerana dia akan mendapat kembali khidmat mereka untuk Kejohanan AFF B-19 dan AFC tahun ini.

Justeru, Hodak mahu menggunakan kunjungan ke Bangkok kali ini untuk memberi peluang buat pemain lain menunjukkan kemampuan mereka beraksi di peringkat tertinggi.

"Kejohanan ini untuk pemain muda. Mereka memiliki peluang dan harus mencuba yang terbaik, membiasakan diri dengan corak permainan yang lebih pantas dan keras.

"Jadi, jika mereka yang diturunkan, tempat kedua atau ketiga pastinya hebat."