Pengurus skuad B-16 kebangsaan, Datuk S. Sivasundram, mengakui persediaan mental pemain-pemain terganggu ekoran penundaan perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan AFC 2018 bertemu Jepun, hari ini.

Peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memaksa perlawanan itu dijalankan serentak dengan satu lagi aksi di antara Thailand dan Tajikistan.

Namun, keutamaan buat skuad negara jelas terganggu tatkala mereka sudah berada dalam persediaan kemuncak bagi aksi penentuan sebelum melangkah ke suku akhir.

"Memang pemain-pemain sedih dan mereka sudah bersedia untuk beraksi pada hari ini. Begitu juga dengan Jepun tetapi harus akur dengan peraturan AFC," kata Sivasundram.

Atas faktor keselamatan dengan keadaan hujan lebat dan petir, ia jelas membahayakan kedua-dua pasukan sekiranya perlawanan diteruskan.

Dalam masa sama, keputusan AFC menunda perlawanan kepada jam 11 pagi esok adalah berikutan keadaan cuaca yang lebih lebih teruk dengan keadaan hujan lebat dan petir di Arena Universiti Malaya yang turut membabitkan aksi Thailand bertemu Tajikistan.

"Ini telah dibuat oleh AFC. Ia melibatkan dua perlawanan dan ia harus diselaraskan," katanya.