Milan Skriniar memeterai kontrak baru dengan Inter, sekali gus menamatkan spekulasi dia akan menyertai Real Madrid atau Manchester United.

Pertahanan itu sering dikaitkan dengan United manakala Mac lalu, ejennya mendakwa dia menjadi sasaran Madrid dan Barcelona.

Bagaimanapun, pertahanan tengah itu menyatakan dia akan memperbaharui kontraknya dengan Inter dan semalam, kelab itu mengesahkan dia telah menandatangani kontrak baru sehingga 2023.

Tonggak Slovakia itu turun dalam 33 aksi kesebelasan utama saingan Serie A musim ini selepas menembusi skuad utama musim lalu untuk membantu Inter meraih ketiga.

"Dia merupakan pertahanan yang membuat paling banyak hantaran dalam Serie A, iaitu 65 hantaran setiap perlawanan dengan peratusan kejayaan setinggi 92.3 peratus," demikian kata satu kenyataan yang dikeluarkan Inter.

"Dia memenangi 221 terjahan dan merupakan pertahanan ketiga tertinggi yang merampas bola. Dengan kelibat Skriniar di padang, Inter tidak dibolosi sebarang gol dalam 15 perlawanan."

Inter boleh mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan sekiranya mereka merakamkan kemenangan ketika berkunjung ke pasukan di tempat kedua, Napoli, awal pagi Isnin ini.

Begitupun, masa depan Luciano Spalletti tetap diragui dengan bekas pengurus Itali dan Juventus, Antonio Conte, dilaporkan akan mengambil alih skuad itu untuk musim 2019-20.