Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, tidak peduli dengan masalah kecederaan dan kebocoran maklumat yang menjejaskan pasukannya.

Athletic Bilbao akan bertandang ke Wanda Metropolitano bagi aksi LaLiga awal pagi esok untuk menghadapi pasukan di tangga keempat, Atleti -- empat mata dijarakkan dengan Barcelona sambil semangat mereka semakin berkobar-kobar susulan kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL).

Pertemuan pertama di Signal Iduna Park lalu menyaksikan Atletico tumbang 0-4 dengan kebimbangan mengenai tahap kecergasan kerap melanda pemain-pemainnya musim ini.

Pertahanan, Lucas Hernandez dan Jose Maria Gimenez, menjadi mangsa kecederaan terbaru membabitkan otot minggu ini.

Laporan di Sepanyol -- kemudian disangkal -- mendakwa masalah hamstring yang dideritai Gimenez adalah kronik dan akan berterusan menghantui kariernya.

"Anda adalah wartawan dan anda boleh mendapatkan maklumat sama ada ia benar atau palsu.

"Namun, anda tidak akan tahu sama ada ia benar atau tidak kerana anda tidak berada di sana untuk menyaksikannya," kata Simeone.

"Sekiranya pada masa itu anda ada di sana, maka laporan yang anda tulis adalah berdasarkan fakta.

"Kami menghormati setiap pendapat, setiap pasukan besar akan menghadapi masalah kecederaan, kami berusaha untuk memastikan pemain kami dalam prestasi terbaik, oleh itu kami akan terus berusaha ke arah itu," katanya.

Atleti berlatih di gelanggang tertutup kelmarin dan bukannya di padang Majadahonda seperti lazimnya -- langkah itu diambil kerana keadaan rumput yang tidak memuaskan hati Simeone.

"Adalah normal apabila seseorang melakukan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaannya, ia mengundang kritikan atau pendapat, tetapi anda perlu meletakkan diri sendiri dalam situasi itu," jelasnya.

"Kami tidak boleh berlatih di padang itu kerana ia tidak berada dalam keadaan yang baik kerana semua pemain muda berlatih diri di sini termasuk melangsungkan perlawanan Liga Remaja UEFA. Sebab itulah rumput di sini tidak berapa bagus.

"Sedikit privasi juga bagus untuk kami dan kami telah memberikan anda kesempatan menyaksikan latihan terbuka selama tujuh tahun. Kalau selepas tujuh tahun tetapi anda masih tidak tahu apa yang sedang kami lakukan atau mahukan, maka susahlah."

Seorang pemain lagi pemain yang masih bergelut dengan kecederaan ialah Diego Costa. Begitupun, Simeone enggan mengetepikan prospek kemunculan penyerangnya itu.

"Costa mahu bermain," tambahnya. "Saya akan berbual dengannya untuk melihat apa yang difikirkannya dan saya akan beritahu dia apa yang saya fikir. Kami akan memutuskan sama ada dia akan menjadi salah seorang daripada 18 pemain esok."