HUESCA 0 ATLETICO MADRID 3

Diego Simeone memuji satu lagi aksi meyakinkan yang dipamerkan pasukannya, Atletico Madrid, ketika mereka terus memberikan tekanan kepada pendahulu liga, Barcelona, menerusi kemenangan 3-0 ke atas Huesca, awal pagi tadi.


Kemenangan di Stadium El Alcoraz itu memastikan Atletico meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada 17 perlawanan liga dan merapatkan jurang kepada dua mata di belakang Barca walaupun skuad Catalan itu masih berkelebihan satu perlawanan.

Atletico memaparkan aksi komprehensif ketika mengambil alih penguasaan awal Huesca sebelum menewaskan pasukan yang bergelut di tangga tercorot itu.

Simeone gembira dengan aksi yang dipamerkan pasukannya yang dapat mengekalkan rentak cemerlang sejak kembali daripada waktu rehat pertengahan musim, bermula dengan aksi menentang Sevilla, awal bulan ini.

"Saya kerap mengulanginya, kami perlu bersaing hebat sejak perlawanan dengan Sevilla.

"Kami perlu sentiasa mencari peluang jaringan.

"Pasukan kami beraksi dengan amat baik sepanjang 90 minit perlawanan hari ini.

"Ia memberikan saya keterujaan," katanya.

Pertahanan sayap, Lucas Hernandez, dan Santiago Arias meletakkan Atletico dua gol di depan sebelum Koke melengkapkan penampilannya yang ke-400 dengan gol penutup buat pasukannya.

Kemenangan itu tiba selepas Atletico dilanda badai kecederaan pemain yang mengakibatkan Simeone hanya mempunyai 13 pemain yang benar-benar cergas untuk diturunkan.

Namun, dia menganggap keadaan itu semakin baik selepas mereka tersingkir daripada saingan Copa del Rey.

"Kami sedar sejak awal musim lagi bahawa kesukaran seperti ini pasti akan tiba.

"Kami sudah terkeluar daripada perebutan piala itu dan kami kini mempunyai lebih peluang untuk memulihkan pemain bagi menghadapi kejohanan-kejohanan lain," tambahnya.