Diego Simeone percaya Cristiano Ronaldo meniru bahasa isyaratnya dengan niat yang sama dengannya ketika melakar hatrik buat Juventus.

Ronaldo menyumbat hatrik kelapan dalam Liga Juara-Juara (UCL) untuk mencetuskan ilham kemenangan 3-0 Juventus bagi menyingkirkan Atletico Madrid dalam pusingan 16, awal pagi tadi.

Atletico menang 2-0 dalam perlawanan pertama di Madrid yang menyaksikan pengurus Atleti itu meraikan kemenangan tersebut dengan menggenggam celah kelangkangnya yang menjadi punca dia didenda oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Bintang Juve itu kemudian meniru gaya isyarat 'cojones' itu dalam aksi timbali balik di Turin, awal pagi tadi, ketika membawa kelab Itali itu mara ke peringkat suku akhir.

"Saya yakin Cristiano membuat isyarat dengan niat yang sama seperti yang saya lakukan untuk ditujukan kepada penyokongnya," kata Simeone kepada wartawan.

Ronaldo meningkatkan bilangan golnya dalam UCL kepada 124 berikutan tiga gol yang dihasilkan di laman sendiri itu.

"Cristiano merupakan salah seorang pemain terbaik di dunia dan ia sesuatu yang normal ketika sentuhannya amat diperlukan," kata Simeone lagi.

Atletico gagal memberikan saingan kepada Juve yang mendominasi permainan dan sejak dari awal lagi mereka terus mengasak kelab dari Sepanyol tersebut.

Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-27 sebelum sekali lagi melepasi penjaga gol Atletico, Jan Oblak, empat minit memasuki babak kedua.

Juara lima kali Ballon d'Or itu kemudian menyempurnakan kebangkitan mereka menerusi sepakan penalti ketika permainan bersisa empat minit.

Antoine Griezmann mengeluh selepas perlawanan itu tetapi Simeone segera menghentikan label yang mengatakan bahawa ia aksi paling mengecewakan yang pernah ditampilkan Atletico.

"Saya tidak fikir ada kekurangan watak atau komitmen," tambah Simeone. "Mereka menguasai kami sepenuhnya. Apabila saya melihat pasukan lawan lebih unggul, saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka.

"Sesungguhnya kami melakukan banyak kesilapan dalam pelbagai aspek tetapi itulah yang saya beritahu kepada pemain.

"Pendekatan taktikal? Juventus lebih baik. Kami langsung tidak mempunyai peluang untuk mara dalam babak kedua."