Diego Simeone memuji persembahan Antoine Griezmann ketika Atletico Madrid meraih kemenangan 2-1 ke atas Monaco dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Atletico mendominasi hampir keseluruhan permainan di Monte Carlo, dengan Griezmann bertindak sebagai tonggak utama untuk menembusi barisan pertahanan Monaco.

Pelawat ketinggalan pada minit ke-18 selepas kesilapan daripada Saul Niguez dan Angel Correa membenarkan Samuel Grandsir membuka jaringan tetapi Atletico kembali fokus dan memastikan meraih tiga mata.

Jaringan penyamaan hadir menerusi Diego Costa yang menerima hantaran kemas daripada Griezmann dan Jose Gimenez memastikan kemenangan mereka sebelum tamat separuh masa pertama.

Tetapi Griezmann –- yang dikritik hebat kerana menyasarkan untuk menjulang Ballon d'Or secara umum di sebalik permulaan hambar dalam saingan LaLiga -- menerima pujian daripada Simeone.

"Persembahan Griezmann meningkat dalam setiap perlawanan," katanya.

"Kami ketinggalan dalam perlawanan ini dan Griezmann hadir tepat pada masanya bagi menentukan keputusan perlawanan ini.

"Dia bijak melakukan keputusan, gandingannya bersama Costa amat mengagumkan," ujarnya.

Sergio Ramos merupakan antara pemain yang mengkritik Griezmann supaya bersifat merendah diri.

Tetapi Rodrigo enggan mengulas mengenai Ramos, sebaliknya menghamburkan pujian kepada prestasi Griezmann.

"Tiada apa yang menggugat Griezmann," kata Rodrigo. "Dia telah melakukan bantuan jaringan yang sangat baik. Pemain-pemain perlu menampilkan kualiti di atas padang dan setiap orang memiliki pendapat sendiri.

"Kami tidak akan mengkritik kata-kata Ramos. Griezmann adalah pemain penting pasukan, seorang pemain bertaraf dunia.

"Kami membuktikan Atletico dalam kalangan tiga pasukan terbaik dunia dan Griezmann banyak membantu pasukan."