Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, bimbang akan kehilangan khidmat Felipe Luis selepas pertahanannya itu mengalami kecederaan ketika membenam cabaran Lokomotiv Moscow, awal pagi tadi.

Aksi pertama di Wanda Metropolitano itu berakhir dengan keputusan 3-0 memihak Atletico tetapi skuad Rojiblancos jelas tidak mudah berpuas hati apabila mencatat lima jaringan di Moscow.

Bagaimanapun, kemenangan itu terpaksa 'dibayar' dengan harga tinggi apabila Felipe diusung keluar pada minit ke-62.

Pemain Brazil itu cub menghalang penyerang lawan, Eder, daripada melakukan percubaan, namun ia berakhir dengan hayunan kaki peledak dari Portugal itu mengenai kakinya.

"Saya belum bercakap dengan doktor dan diharapkan ia cuma kecederaan ringan.

"Kami berkemungkinan akan kehilangan khidmat Juanfran dan Felipe pada Ahad ini. Saya yakin mereka akan sempat pulih apabila LaLiga bersambung selepas aksi antarabangsa tetapi tetap risau," kata Simeone.

Antara perkara yang turut menjadi perhatian Simeone adalah komitmen anak-anak buahnya yang sentiasa berusaha tanpa mengenal erti putus asa.

"Saya sering mengatakan bahawa setiap orang mempunyai nilai berdasarkan cara yang diterapkan dalam semua perkara.

"Anda boleh melakukan sebarang kesilapan tetapi tidak boleh mengabaikan disiplin dan saya gembira melihat skuad Atletico sentiasa berada dalam semangat dan prestasi sama, tidak kira di mana mereka beraksi," tambah Simeone.