Diego Simeone berterima kasih kepada Antoine Griezmann untuk "lima tahun yang indah" beraksi buat Atletico Madrid dan merestui penghijrahan penyerang itu.

Griezmann mengesahkan Selasa lalu dia mahu meninggalkan Wanda Metropolitano penghujung musim ini walaupun baru sahaja menandatangani kontrak selama lima tahun musim lalu.

Pengumuma pemain kebangsaan Perancis itu menyaksikan Barcelona bersedia untuk mengaktifkan klausa perpindahan pemain tersebut.

Sejak menyertai Atletico dari Real Sociedad pada 2014, Griezmann mencetak 94 gol secara keseluruhan.

Dan Simeone berkata Atletico telah melakukan segala yang termampu untuk mengekalkan pemain-pemain mereka daripada menyertai Barcelona.

"Pertama sekali, saya bersyukur dengan pemain-pemain Atletico. Saya berterima kasih di atas usaha yang dipamerkan oleh Griezmann bersama pasukan.

"Kami menyedari masa akan tiba buat Griezmann berhijrah.

"Apabila anda melakukan yang terbaik, seperti yang dilakukan Griezmann, anda harus berpuas hati. Selepas lima tahun, dia telah berjaya melakar banyak kejayaan untuk pasukan dan dia merupakan salah seorang penyerang terbaik dalam sejarah kelab," ujarnya.

Griezmann menyertai senarai bintang yang meninggalkan Atletico sejak sedekad lalu tetapi Simeone menegaskan tiada pemain yang lebih besar daripada kelab dan sedia untuk berusaha mengejar gelaran tanpa kelibat pemain berusia 28 tahun itu.

"Saya tidak berniat untuk meyakinkan sesiapa untuk kekal bersama pasukan. Bermain untuk Atletico adalah kebanggaan buat pemain-pemain yang melakukannya. Sudah hampir 10 tahun sejak era Quique Sanchez Flores apabila kami mula beraksi dengan lebih baik dan memenangi gelaran.

"Miranda, Radamel Falcao, Raul Garcia, Diego Forlan, Sergio Aguero. Mereka telah lama berhijrah dan kelab mengekalkan kualiti dengan asas yang baik.

"Pasukan ini membuktikan kelab adalah lebih penting daripada kami semua. Ia tidak mengubah apa-apa. Kami akan melihat kepada pemain-pemain yang mahu beraksi untuk Atletico," katanya lagi.