Simeone puji persembahan Felix

Oleh Staff Writer 11 Ogos 2019 1117
Simeone puji persembahan Felix
Diego Simeone memuji Joao Felix selepas pemain muda itu terus mencuri tumpuan ketika Atletico Madrid menewaskan Juventus, awal pagi tadi.

Felix menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan untuk memberikan Atletico penutup pramusim sempurna selepas menewaskan Juve 2-1 dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Stockholm.

Pemain berusia 19 tahun itu menyertai pasukan gergasi LaLiga berkenaan daripada Benfica dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai €126 juta (RM596.3 juta) dan menjaringkan tiga gol selain empat bantuan jaringan dalam lima perlawanan pramusim.

Simeone kagum dengan apa yang dipamerkan Felix, yang menjaringkan 20 gol daripada 24 penampilan kompetitif bersama Benfica musim lalu.

"Joao memiliki banyak kemampuan. Dia cepat menyesuaikan diri dengan apa yang diperlukan pasukan," kata pengendali Atletico itu dalam sidang media.

"Dia mempunyai visi yang membenarkannya untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai posisi dan dalam proses menyesuaikan diri itu, ia merupakan perkara terbaik yang dia ada.

"Saya sudah katakannya sejak hari pertama, dia mempunyai keinginan untuk belajar.

"Dia mahu belajar dan dengan itu, proses penyesuaiannya menjadi singkat.

"Bakat adalah kurniaan tetapi keinginan untuk belajar akan memudahkan pemain untuk beraksi baik," katanya.

Atletico memanfaatkan jendela perpindahan untuk membina semula pasukan dengan kemasukan Felix, Marcos Llorente dan Kieran Trippier sementara  Antoine Griezmann, Rodri, Lucas Hernandez, Diego Godin, Juanfran dan Filipe Luis merupakan antara pemain yang meninggalkan pasukan itu.

Penyerang Argentina, Angel Correa, turut dikaitkan dengan perpindahan ke AC Milan, namun Simeone menjangkakan pemain berusia 24 tahun itu akan kekal bersama Atletico.

"Kami terbuka terhadap segala-gala yang boleh berlaku dalam jendela perpindahan.

"Tiada apa yang akan mengejutkan kami kerana amat jelas, ia sentiasa akan ada sesuatu yang berlaku sehingga ke penghujungnya, jadi kami perlu bersedia menghadapinya.

"Angel Correa berlatih dengan bersungguh-sungguh sejak kembali dan tiada sebarang situasi yang mendorong saya untuk berfikir bahawa dia akan meninggalkan pasukan ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen