Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, enggan bercakap tentang Cristiano Ronaldo ketika pasukannya akan melayani kunjungan Juventus dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok.

Ronaldo melengkapkan perpindahan bernilai €112 juta (RM518.1 juta) untuk menyertai Juve, Julai lalu, selepas memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dengan Real Madrid selain muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman buat gergasi LaLiga itu.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu telah meledak 22 jaringan dalam pertembungan 'derby' Madrid, namun dalam sidang media pra-perlawanan, Simeone lebih gemar memperkatakan tentang bakat hebat yang dimiliki pasukannya.

"Dia mengambil keputusan untuk berdepan cabaran baru dengan menyertai Juventus.

"Namun, kami hanya akan memperkatakan tentang (Antoine) Griezmann, (Alvaro) Morata, (Diego) Costa, Koke dan Saul (Niguez).

"Mereka amat teruja dan bersedia untuk menghadapi perlawanan sehebat ini.

"Saya berasa teruja untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara dengan berdepan lawan yang sehebat ini.

"Selepas gagal melangkah sejauh ini musim lalu, kami mahu berkembang selaku sebuah kelab dan sebuah pasukan," katanya.

Atletico tersingkir ke Liga Europa selepas terkandas dalam saingan peringkat kumpulan musim lalu, namun mereka menjuarai kejohanan kedua terbesar peringkat Eropah itu.

Mereka tewas dalam final Liga Juara-Juara edisi 2014 dan 2016 kepada Madrid menerusi masa tambahan dan penentuan penalti.

Juventus turut terlepas peluang sama dalam edisi 2015 dan 2017.

"Ia adalah pusingan 16 dan tiada sebarang piala di peringkat ini.

"Kami berdepan pasukan yang hebat dengan jurulatih yang sudah bersama dengan pasukan itu untuk tempoh yang lama. Mereka juga berdepan kes yang sama daripada pihak kami.

"Mereka mempunyai pemain dengan kualiti dan status yang tinggi. Kami mempunyai jentera sama untuk memastikan perlawanan itu memihak kami.

"Kedua-dua pasukan memiliki peluang 50 peratus. Tiada pasukan yang memiliki kelebihan lebih besar," tambahnya.

Menurut Simeone, Diego Costa masih belum bersedia untuk beraksi selama 90 minit selepas baru pilih daripada pembedahan kaki.

Koke pula masih dalam pemerhatian ekoran kecederaan paha.