Thiago Silva menolak cadangan bahawa Paris Saint-Germain (PSG) mahu memberi amaran kepada seluruh pasukan Eropah berikutan kejayaan membelasah Real Madrid.

Dua jaringan Angel Di Maria dan gol lewat daripada Thomas Meunier membantu kelab Perancis itu menang 3-0 ke atas gergasi LaLiga itu dalam pertembungan Kumpulan A, Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu mempamerkan prestasi memberangsangkan sungguhpun kehilangan trio bintang, Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani.

Begitupun, pertahanan tersebut menegaskan tiada mesej yang mahu dihantar kepada pesaing mereka di Eropah sambil memuji persembahan pasukan, termasuk pengurusnya.

"Ini bukan satu mesej yang dihantar kepada pasukan Eropah yang lain," kata pemain dari Brazil itu kepada RMC Sport.

"Tetapi memang benar kami menguasai permainan dengan baik. Kami telah membuat persediaan dengan baik, berkesan, mantap selain melaksanakan apa yang sepatutnya, termasuklah dalam liga.

"Anda perlu bermain seperti hari ini dengan mempamerkan karakter, keperibadian dengan gaya agresif. Saya perlu mengucapkan tahniah kepada kakitangan kelab yang membuat persiapan sempena perlawanan ini, kami memang berhak menang 3-0."

Idrissa Gueye, yang tiba daripada Everton Julai lalu, membawa kesan besar dalam pertembungan di Parc des Princes itu.

Pemain tengah berkenaan gembira dapat membantu juara Ligue 1 itu meraih kemenangan dengan memberitahu RMC Sport: "Hari ini, kami bermain menentang sebuah kelab besar, adalah penting untuk memenangi perlawanan ini.

"Mengenai amanat yang diberikan untuk saya? Saya tidak boleh mendedahkan mengenai kunci perlawanan ini kerana akan ada perlawanan timbal balik. Kami akan terus bekerja keras dan kemudian, kita akan membincangkannya semula.

"Perkara paling penting ialah berada di atas padang dan membantu pasukan. Saya cuba melakukan yang terbaik dan hari ini ia berfungsi."