Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, memuji David Silva kerana bermain "seperti Phil Foden" ketika menang 4-1 ke atas Newport County dalam pusingan kelima Piala FA.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu gagal untuk menjaringkan gol dalam separuh masa pertama di Rodney Parade.

Leroy Sane memecah kebuntuan pada minit ke-51 sebelum dua jaringan daripada Foden -- di antara satu gol pasukan tuan rumah menerusi Padraig Amond -- dan Riyad Mahrez melengkapkan kemenangan City pada penghujung permainan.

Pemain tengah veteran, Silva, salah seorang bintang City yang tampil dalam perlawanan itu, menyempurnakan 82 minit permainan di permukaan padang yang kurang baik dan dipuji oleh Guardiola atas sikap profesionalnya ketika beraksi.

"Menakjubkan," kata Guardiola.

"Silva berusia 33 tahun, mengawal bola dengan kemas. Sangat-sangat baik.

"Silva turun beraksi dalam perlawanan ini seperti seorang yang berusia 18 tahun, seperti Foden."

City melangkah ke suku akhir dan meneruskan cabaran untuk menjulang empat kejuaraan musim ini.

Mereka akan berkunjung ke Schalke untuk aksi pertama Liga Juara-Juara, Rabu ini, sebelum berdepan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala EFL di Wembley.