Kapten Brazil, Thiago Silva, tidak menghiraukan cabaran berdepan Lionel Messi dalam pertemuan dengan seteru utama, Argentina, Jumaat ini tetapi berbangga dengan peluang menghadapi bintang Barcelona itu.

Messi kembali bersama skuad Argentina buat kali pertama sejak Copa America, di mana Brazil menundukkan gergasi Amerika Selatan itu 2-0 di peringkat separuh akhir, Julai lalu.

Selepas terlibat dengan kontroversi susulan dakwaan Messi yang mengatakan Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) sudah tercemar, dia digantung empat perlawanan dan didenda AS$50,000 (RM207,000).

Messi dijangka kembali dalam aksi persahabatan di Arab Saudi itu dan Silva tidak melihat situasi itu dengan ketakutan, sebaliknya berbangga dengan peluang berdepan salah seorang pemain terbaik.

"Kami tidak memikirkannya tetapi bangga dapat berdepan dengannya," ujar pertahanan itu.

"Argentina mempunyai barisan bintang sambil kami tidak memiliki Neymar yang cedera tetapi Brazil adalah Brazil dan kami menunjukkannya sewaktu menjulang Copa America.

"Mereka hidup dalam detik berbeza, sama seperti kami apabila anda memikirkan beberapa aksi terakhir. Brazil berdepan Argentina sentiasa menjadi perlawanan hebat dengan persembahan istimewa dan peluang menghasilkan gol.

"Peluang seimbang untuk kedua-dua pasukan, jadi ayuh berharap kami lebih berinspirasi berbanding mereka."

Pemain sayap Brazil, Willian, menambah: "Messi adalah pemain hebat, tidak boleh disamakan dengan yang lain. Dia merupakan pemain terbaik dunia. Kami berdepan dengannya dalam pertemuan dengan Argentina sebelum ini dan kali ini, ia tetap sama.

"Perhatian pasti terarah kepadanya, kami perlu kekang ruang untuknya. Kami tidak akan fokus kepada dia sahaja tetapi sesiapa yang berada di sekelilingnya perlu sentiasa dekat dengannya, tidak memberikan ruang untuk dia berfikir."

Bintang muda Brazil, Rodrygo Goes, dijangka meraih penampilan pertama bersama skuad senior Selecao pada usia 18 tahun selepas membarisi pasukan utama di Santiago Bernabeu.

Pemain sayap itu telah menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan buat Real Madrid dan Silva teruja dengan situasi itu sambil mencadangkan agar Zinedine Zidane mengetepikan pemain muda itu apabila Paris Saint-Germain (PSG) berdepan gergasi LaLiga itu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, hujung bulan ini.

"Dia bersama skuad Selecao adalah satu peluang, sudah pasti dia mengimpikannya," ujar Silva.

"Saya harap dia menikmatinya. Saya mempunyai 100 penampilan dan setiap kali melaluinya, saya tenang. Saya harap Rodrygo akan menikmati detik itu.

"Ia mengejutkan banyak pihak selepas seorang pemain berusia 18 tahun memiliki lambakan personaliti. Anda lihat bagaimana dia jaringkan gol dan tenang. Pemain ini tidak akan menunjuk-nunjuk.

"Diharapkan Zidane akan meletakkannya di bangku simpanan. Dia seorang pemain yang perlukan lebih banyak perhatian daripada anda. Kualitinya menjelaskan segala-galanya."