Alvaro Morata menggesa supaya hasrat Antoine Griezmann untuk meninggalkan Atletico Madrid dihormati.

Penyerang Perancis, Griezmann, minggu ini mengumumkan bahawa dia berhasrat untuk meninggalkan Atleti selepas lima tahun di kelab itu walaupun menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2023, tahun lalu.

Lucas Hernandez dan ketua pasukan, Diego Godin, juga mengucapkan perpisahan mereka kepada Wanda Metropolitano dan tatkala peminat dilanda kegelisahan, Morata menyeru peminat agar menghargai sumbangan yang telah Griezmann berikan kepada Atletico.

"Ia satu keputusan yang perlu kita hormati. Kita perlu berterima kasih kepadanya atas sumbangan besarnya buat kelab ini dan kita perlu menghormati keputusannya," kata penggempur yang dipinjamkan dari Chelsea itu yang bersedia kekal di Atleti sepanjang musim 2019-20.

"Kami berharap dia akan kekal tetapi dia sudah membulatkan tekadnya. Musim ini akan berakhir tetapi kami pasti akan terus menikmati perjuangan musim depan.

"Perubahan sentiasa sukar tetapi kami berusaha untuk menjadi sebuah pasukan yang kompetitif dan pada musim depan, kami akan berjuang untuk merebut semua gelaran.

"Kami sangat bermotivasi di bilik persalinan dan untuk masa depan, ia sangat penting."

Barcelona amat berminat untuk menjadi majikan kepada Griezmann pada masa akan datang, dengan Morata sebaliknya menegaskan dia "tidak tahu" apa yang direncanakan oleh rakan sepasukannya itu.

"Emosi kesan ucapan perpindahannya berbeza-beza, bergantung kepada sejauh mana hubungan kita dengannya," katanya.

"Apapun, itulah realitinya dan kita perlu menerimanya dan teruskan perjuangan."

Tambahnya: "Dia salah seorang pemain terbaik di dunia dan boleh beraksi dengan baik dengan mana-mana pasukan sekalipun, pasukan yang dia menjadi idamannya.

"Dia seorang bintang handalan, dia pasti akan dapat menyesuaikan diri dalam mana-mana pasukan."

Morata juga ditanya sama ada hukuman penggantungan perpindahan Chelsea boleh menggugat pinjamannya ke Atletico.

The Blues, yang membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atas hukuman sekatan mendaftarkan pemain baru dalam dua jendela perpindahan yang berikutnya, mahu memastikan sama ada hukuman itu akan dibekukan atau dibatalkan, namun Morata tetap mahu bersama Atletico.

"Saya tidak tahu, kami mempunyai kontrak tertentu," katanya. "Fokus saya adalah untuk mendapatkan peluang beraksi dengan kerap.

"Jelas sekali saya mahu berada di sini.

"Saya tidak terlintas untuk ke mana-mana lagi, saya cuma mahu berada di sini. Saya gembira di sini dan saya mahu berada di sini selama bertahun-tahun lamanya sementara saya masih di kemuncak prestasi.

"Ada beberapa perkara yang tidak memerlukan pemain untuk terlibat, seperti rundingan dan kontrak. Saya melakukan segala yang terdaya untuk datang ke Atletico dan saya akan melakukan segala-galanya untuk kekal."