Akibat sepi tanpa sebarang langkah penyelesaian, Shukor Adan akhirnya nekad mewakili rakan sepasukan mendapatkan nasihat perundangan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung tunggakan gaji selama tiga bulan daripada Felda United.

Pengalaman itu sukar dipercayai Shukor kerana sepanjang lima musim bersama Felda, dia tidak pernah menghadapi masalah gaji.

Namun, tahun terakhir bersama Felda memberikan memori pahit buat Shukor apabila dia belum mendapat gaji sejak September hingga November pada musim 2018.

Setelah memberikan peluang begitu lama kepada pengurusan Felda menyelesaikan tunggakan, Shukor akhirnya memilih jalan perundangan mewakili semua rakan-rakan yang lain.

"Selepas beberapa bulan, saya mengambil keputusan hadir ke Wisma FAM untuk membincangkan urusan tunggakan gaji yang tidak dilunaskan oleh pasukan Felda," kata Shukor.

Shukor, yang akan bersama Melaka pada 2019, menjelaskan pengurusan Felda memang telah mengadakan pertemuan dengan mereka beberapa kali sebelum ini.

Namun, dia tidak nampak sebarang langkah proaktif diambil walaupun berjanji akan cuba menyelesaikannya.

"Terdapat beberapa pertemuan yang dilakukan bersama pengarah kewangan Felda dalam mencari jalan penyelesaian dalam hal ini."