"Saya pilih untuk jadi luar biasa," demikian kata pemain pertahanan, Shivan Pilay Asokan, yang sekali lagi menyelamatkan maruah negara menerusi jaringan tunggalnya untuk membolehkan Malaysia meraih kemenangan 1-0 ke atas Myanmar dalam Kumpulan B, Kejohanan Bola Sepak Piala AFF B-19 di Kota Surabaya, Indonesia, semalam.

Satu tamparan hebat buat jentera serangan skuad B-19 negara apabila tanggungjawab utama mereka dilaksanakan pemain dari bahagian pertahanan.

Ini bukan jaringan pertama daripada Shivan, sebaliknya jaringannya ketika aksi sulung menentang Kemboja juga antara gol bermakna untuk membantu negara menewaskan pasukan pasukan itu 2-0, Rabu lalu.

"Selaku pemain pertahanan, menjaringkan gol adalah sesuatu yang luar biasa tetapi saya lakukannya untuk negara hari ini (semalam).

"Kami bertahan sebagai satu pasukan dan kami tidak melepaskan sebarang gol. Ia satu permainan yang baik daripada kami," kata Shivan mengulas mengenai prestasinya selepas Malaysia menewaskan Myanmar.

Lebih unggul di bahagian pertahanan negara tetapi Shivan menegaskan gerakan menerusi tandukan merupakan aksi kegemarannya jika dia meraih peluang di hadapan gawang lawan.

Shivan antara pemain yang sering mendapat kepercayaan Bojan Hodak dan walaupun melewati eksperimen pemain, dia satu-satunya nama yang belum pernah tercicir daripada kesebelasan utama pengendali dari Crotia itu sepanjang kempen Piala AFF B-19 ini.

"Banyak gol yang saya lakukan menerusi tandukan. Saya mendapat peluang dan saya berjaya menyempurnakannya. Saya sangat bersykur dapat melakukannya dengan baik hari ini (semalam)," katanya lagi.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia menduduki tangga teratas dengan mengumpul 10 mata bagi menempah tiket ke peringkat suku akhir.