Luke Shaw menyifatkan Paul Pogba sebagai "salah seorang pemain tengah terbaik dunia" selepas menjaringkan dua gol ketika membantu Manchester United meraih kemenangan
3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Young Boys, awal pagi tadi.


Pogba memberikan gol pendahuluan buat skuad kendalian Jose Mourinho itu 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama dan menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti.

Dia kemudian melakukan umpanan buat jaringan ketiga United yang disempurnakan oleh Anthony Martial.

Shaw – yang membuat penampilan semula selepas mengalami gegaran otak dalam aksi perlawanan antarabangsa -- memuji persembahan kapten pasukan dan percaya Pogba sentiasa bersedia untuk menampilkan permainan terbaik.

"Kami menyedari kualiti yang dimilikinya.

"Bagi saya, dia salah seorang pemain terbaik dunia. Dia adalah penting sebagai kapten dan menunjukkannya di atas padang.

"Saya berharap Pogba dapat mengekalkan persembahan ini."

Shaw mengakui United bergelut memulakan saingan dan terhutang budi kepada jaringan Pogba bagi membantu pasukan menyesuaikan diri dalam aksi sulung Kumpulan H itu.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar dalam separuh masa pertama.

"Kami tidak bermula dengan baik. Beraksi di atas padang tiruan menyukarkan kami tetapi Pogba menghadirkan magis dengan jaringan pertama dan ia membantu pasukan menyesuaikan diri. Kami gembira di atas kemenangan ini."