Benteng England, Luke Shaw, hanya memerlukan tempoh rehat seminggu selepas mengalami kecederaan kepala ketika tewas 2-1 di tangan Sepanyol kelmarin dan Dele Alli akan boleh beraksi buat Tottenham Hotspur hujung minggu ini walaupun berdepan masalah kekejangan otot.

Shaw, yang menikmati permulaan cemerlang bersama Manchester United musim ini, terpaksa dikeluarkan dalam babak kedua di Wembley selepas mengalami kecederaan kepala akibat berlaga dengan Dani Carvajal.

Pertahanan kiri itu menerima rawatan di atas padang sebelum terpaksa dibawa keluar menggunakan pengusung.

Bagaimanapun, pengendali The Three Lions, Gareth Southgate, menjangkakan dia akan kembali tidak lama lagi dan yakin sebaik sahaja waktu rehat yang diperlukan tamat, dia bakal menyertai sesi latihan semula.

Shaw dilihat bakal terlepas aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah di Young Boys pada 19 September ini akibat tidak cergas sepenuhnya.

Sewaktu ditemui barisan wartawan menjelang aksi persahabatan menentang Switzerland, Southgate berkata: Segalanya bagus dan Shaw memiliki tempoh rehat kira-kira enam atau tujuh hari.

"Namun, dia akan kembali menyertai sesi latihan sebaik sahaja segalanya selesai."

Alli terpaksa dikeluarkan daripada senarai skuad semalam selepas didapati mengalami kekejangan otot yang diterima sewaktu berdepan Sepanyol.

Namun, Southgate tidak berasa ia sesuatu yang perlu dirisaukan oleh peminat Spurs tatkala dia yakin Alli mungkin akan beraksi bertemu Liverpool, Sabtu ini.

"Alli mengalami kekejangan kecil tetapi saya rasa dia akan baik untuk mewakili kelabnya pada hujung minggu," ujar Southgate.

"Saya rasa persembahan Ali ketika bertemu Sepanyol agak baik. Dia melakukan beberapa larian penting dan banyak belajar daripada perlawanan itu."