Penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi, menolak spekulasi bahawa dia bakal berhijrah ke pasukan Selangor musim depan.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang kini beraksi dengan kelab Nakhon Ratchasima di Thailand secara pinjaman, menjelaskan komennya di media sosial itu sekadar gurauan dengan bekas rakan sepasukan dalam skuad Harimau Muda B.

“Saya cuma bergurau dengan rakan sepasukan lama saya dalam Harimau Muda B, bukan betul pun,” katanya ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sejurus tiba di tanah air selepas mengharungi dua aksi persahabatan bersama skuad Harimau Malaya menentang Taiwan dan Kemboja.

Sebelum ini, komen Shahrel kepada rakannya bernama @ashmawi3 di Instagram menjadi tular.

Dia membalas: “Biasa je wi, Selangor 2019,” apabila rakannya itu membuat komen “terbaik eky.”

Shahrel muncul wira apabila membantu skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe itu meraih kemenangan 3-1 ke atas Kemboja malam kelmarin, apabila mencipta dua peluang untuk skuad negara menjaringkan gol menerusi Shahrul Saad dan Syazwan Andik Ishak sebelum meledak gol antarabangsa pertamanya pada masa kecederaan.

Pemain PKNP FC itu menyertai kelab Nakhon Ratchasima secara pinjaman dari Jun lalu sehingga Disember ini.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Kemboja yang mendapat suntikan semangat baharu di bawah kendalian bintang Jepun Keisuke Honda, Shahrel berkata kemenangan itu begitu lama dinanti-nantikan semua pemain skuad Harimau Malaya selepas kali terakhir mencatat kemenangan di tempat lawan ke atas New Caledonia 2-1 pada 22 Jun 2016.

“Saya harus berterima kasih kepada jurulatih Cheng Hoe kerana beri peluang beraksi dalam pertandingan kompetitif. Saya gembira dengan sumbangan itu. Untuk saingan Piala AFF nanti, terpulang kepada beliau untuk letak saya di bangku simpanan atau dalam kesebelasan utama, saya ikut sahaja,” ujarnya.

Shahrel juga yakin tidak akan mengalami masalah menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya pada Oktober ini kerana aksi Liga 1 Thailand akan tamat sebelum itu.