Kecederaan pinggang yang dialami membuatkan pemain kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi, sedikit resah terhadap peluangnya untuk memburu salah satu tempat dalam pasukan bagi kempen Piala AFF 2018, bulan depan.

Shahrel mengalami kecederaan itu sewaktu aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Colombo, Jumaat lalu, sekali gus menyaksikan dia terpaksa disisihkan bagi pertemuan dengan Kyrgyzstan kelmarin yang juga merupakan antara rangka persiapan ke Piala AFF.

Menjelang aksi persahabatan berikutnya berdepan Maldives, 3 November ini, pemain yang beraksi bersama Nakhon Ratchasima dalam Liga Thailand itu berharap dapat pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

"Sekarang, saya masih rasa sakit dan tidak selesa. Mungkin apabila pulang, saya akan menjalani pemulihan bersama skuad PKNP FC.

"Keputusan masih belum dibuat dan doktor juga tidak memberitahu apa-apa," katanya.

Sementara itu, Shahrel mengakui masih belum mempunyai kepastian terhadap masa depannya bersama Nakhon Ratchasima.

Dia sebelum ini dipinjamkan ke kelab berkenaan daripada PKNP, namun meluahkan hasrat untuk cuba kekal semusim lagi di Thailand.

Shahrel menjelaskan jurulatih Nakhon Ratchasima, Milos Joksic, memiliki perancangan terhadapnya bagi musim 2019 tetapi segalanya terpulang kepada pengurusan skuad The Swat Cats itu.

"Pada mulanya, jurulatih di sana ada bertanya mengenai keadaan saya. Adakah saya suka dengan keadaan di Thailand dan dalam perbincangan itu memang dia mahukan khidmat saya selaku pemain import Asia Tenggara.

"Saya berharap jurulatih itu akan meyakinkan pasukan dalam mengekalkan saya."