Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho, memuji aksi Ryan Sessegnon ketika pasukannya tewas 1-3 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi tetapi berasakan pemain muda itu masih perlu mempelajari banyak perkara.

Sessegnon menjaringkan gol pertamanya bersama Spurs dalam perlawanan tumpuan di Arena Allianz itu.

Ia juga merupakan kali pertama pemain berusia 19 tahun itu berada dalam kesebelasan utama sejak menyertai kelab berkenaan daripada Fulham.

Mourinho amat tertarik dengan permainan pemain sayap itu walaupun mengakui masih terdapat banyak ruang untuk diperbaikinya.

"Itu adalah kualitinya yang kami sudah sedia maklum. Dia sentiasa berbahaya di posisinya dan seorang penyudah yang bagus, " katanya kepada BT Sport.

"Masih banyak yang perlu diperbaikinya, dia tewas dalam beberapa pertembungan individu dan perlu belajar menggunakan badannya.

"Dia bermain dengan pemain berpengalaman dan masih banyak untuk dikembangkan tetapi potensinya ada," katanya.

Sessegnon menjadi pemain termuda menjaringkan gol buat Tottenham dalam Liga Juara-Juara apabila dia menyudahkan peluang pada minit ke-20 perlawanan itu.

Dia berharap jaringan itu akan membantu perkembangan kariernya bersama pasukan itu.

"Saya berasa amat baik. Saya agak keletihan pada penghujung permainan tetapi untuk menjaringkan gol dalam penampilan pertama merupakan sesuatu yang istimewa.

"Ia sudah pasti akan membantu perkembangan karier saya di Tottenham.

"Saya cedera sewaktu mula-mula tiba di sini dan ia permulaan yang sukar.

"Kini, saya sudah kembali bersama pasukan dan mahu lebih banyak diturunkan," katanya.

Meskipun tewas, Spurs tetap layak mengiringi Bayern ke pusingan 16 selaku pasukan di tangga kedua Kumpulan B.