Bintang Napoli, Lorenzo Insigne, menyatakan beraksi untuk Barcelona adalah impiannya tetapi menegaskan dia tidak akan berganjak daripada kelabnya.

Pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran Barca untuk menggantikan tempat Neymar yang telah berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain kebangsaan Itali itu menjaringkan gol ketika membantu Napoli mengesahkan tempat ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) dengan kemenangan ke atas Nice 2-0, menyempurnakan kemenangan 4-0 secara agregat.

Insigne berhati-hati menyambut khabar mengenai lamaran Barca dan mengakui ia telah berjaya menarik minatnya.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas segala pujian yang diberikan tetapi saya mahu terus memberikan yang terbaik untuk Napoli," katanya.

"Barcelona adalah impian setiap pemain tetapi buat masa ini, saya memiliki sasaran bersama pasukan saya."

Insigne menjaringkan gol pada minit ke-88 selepas jaringan pembukaan Jose Callejon menyaksikan Napoli mengawal rentak perlawanan.

Persembahan Partenopei menggembirakan Insigne, dengan mengatakan, "Ia adalah satu persembahan cemerlang daripada pasukan.

"Kami menyedari akan tentangan yang mampu diberikan oleh lawan kami tetapi Napoli menyerap setiap ancaman dan meraih kemenangan."