Serbia memecat ketua jurulatihnya, Mladen Krstajic, selepas dimalukan Ukraine dalam kempen kelayakan Euro 2020.

Walaupun diperkuatkan dengan pemain baru Real Madrid, Luka Jovic, dan bintang Ajax, Dusan Tadic, Serbia dikejutkan dengan kekalahan besar 0-5 di tangan Ukraine di Lviv minggu lalu, sekali gus meningkatkan tekanan buat pengendali berkenaan.

Serbia kemudian mudah menewaskan Lithuania 4-1, Isnin lalu, namun ia masih belum cukup untuk menyelamatkan Krstajic selepas pasukan itu sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan B dan ketinggalan enam mata di belakang Ukraine selaku pendahulu.

"Lembaga Eksekutif dan Jurulatih FSS (Persatuan Bolasepak Serbia) dan Mladen Krstajic telah menamatkan kerjasama dengan persetujuan bersama dan keputusan mengenai siapa yang akan mengambil alih akan ditentukan pada masa akan datang," kata persatuan itu dalam satu kenyataan, awal pagi tadi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Krstajic di atas usahanya, terutama dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah.

"Kami mendoakan yang terbaik buat masa depannya."