Sepakan penalti Depay pastikan seri 

Oleh Staff Writer 18 September 2019
Sepakan penalti Depay pastikan seri 
LYON 1 ZENIT 1

Pengurus Lyon, Sylvinho, kesal dengan permulaan hambar pada awal musim ini selepas seri 1-1 dengan Zenit dalam Liga Juara-Juara (UCL) sambil menggariskan pasukan bimbingannya "tertekan" pada awal permainan dalam aksi di tempat sendiri itu, awal pagi tadi. 


Zenit membuka jaringan sebelum rehat apabila Sardar Azmoun mengejutkan tuan rumah berikutan jaringan yang terhasil dari penjuru kawasan penalti. 

Lyon kemudian mengimbangi permainan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Memphis Depay tetapi mereka akhirnya terpaksa akur gagal menyudahkan peluang terhidang untuk wakil Ligue 1 itu kehilangan mata ketika membuka saingan dalam Kumpulan G. 

Sylvinho -- yang mengetuai perlawanan pertamanya dalam UCL -- percaya perlawanan awal itu meninggalkan mereka untuk berdepan tugas getir walaupun Zenit gagal memecah kebuntuan sehinggalah pada minit ke-41.

"Kami bermula dengan teruk, mungkin kerana kami agak tertekan," kata pengendali dari Brazil itu kepada pemberita. 

"Kami kemudian memperkemaskan permainan dan lebih menguasai perlawanan sebelum gol yang dibolosi itu membuatkan aksi kami tidak stabil. 

"Kami sepatutnya boleh menang tanpa mengira prestasi selepas dibolosi. Saya mempunyai pasukan muda yang memerlukan sokongan daripada semua orang, daripada peminat serta barisan kejurulatihan."

Pemain tengah, Lucas Tousart, menganggap tuan rumah menghadapi masalah ekoran kurang berdaya kreatif.

"Kami melepaskan gol dan dalam serangan pula, kami tidak cukup berbahaya di kawasan lawan untuk mencetak gol," katanya. 

"Mereka berkampung di tempat sendiri manakala kami tidak mempunyai kreativiti dan inspirasi. Kami tidak mempunyai sentuhan pembunuh dalam situasi tertentu."

Pengurus Zenit, Sergei Semak, pula yakin bahawa keputusan seri itu mencerminkan corak perlawanan itu walaupun berasakan pasukannya mampu mengecewakan lawan. 

"Saya rasa keputusannya adil," katanya. 

"Lyon telah meletakkan kami di bawah tekanan tetapi beberapa peluang untuk mencetak gol terhasil daripada kedua-dua pasukan. 

"Ini kumpulan yang sukar dan apa jua boleh berlaku di sini."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen