Skuad B-19 negara bakal mendapat sentuhan Amerika Syarikat apabila pengurusnya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, mengesahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha membawa pulang seorang pemain berpangkalan di negara itu menjelang Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Skuad B-19 negara merintis kemungkinan layak ke Piala Dunia B-20 di Jakarta, Indonesia, tahun depan apabila berjaya mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19.

Perlu muncul empat pasukan terbaik untuk memastikan sejarah tercipta, FAM kini dalam usaha mendapatkan pilihan pemain terbaik buat pengendali skuad B-19 negara, Brad Maloney.

Kamarul Ariffin mengesahkan seorang pemain muda berbakat yang beraksi bersama kelab di Amerika Syarikat akan memperkuat skuad muda negara bagi menghadapi kejohanan itu nanti.

"Kami masih lagi menghormati situasi pemain tersebut untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia. Dia tidak bermasalah dalam hal ini dan kedua-dua ibu bapanya berasal dari Malaysia," katanya.

Kamarul Ariffin turut berkongsi perancangan rapi pasukannya yang bakal berguru di India, Mac depan, disusuli Perancis pada September bagi mengharungi cabaran getir di Tashkent itu.

"Kami telah menerima jemputan untuk menyertai Piala Perancis dan bakal menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia yang bertanding dalam kejohanan tersebut. Ia akan digunakan sebagai medan persiapan skuad negara sebelum menghadapi saingan di Tashkent."



Editor: Ammar Hakim