CHILE 2 COSTA RICA 3

Kendall Waston menjaringkan dua gol dalam membantu kemenangan 3-2 Costa Rica yang menghalang kebangkitan saat-saat akhir Chile dalam aksi persahabatan di Rancagua, sebentar tadi.


Pelawat, yang tidak pernah menang dalam sembilan perlawanan terakhir mereka, memanfaatkan kecelaruan benteng pertahanan tuan rumah untuk menjaringkan tiga gol dalam tempoh sejam perlawanan.

Pertahanan tengah Costa Rica, Waston, melompat tinggi sebelum menyudahkan bola daripada sepakan sudut Joel Campbell yang gagal dikeluarkan kemas Arturo Vidal pada minit ke-36.

Pemain berusia 30 tahun itu kemudian menjaringkan gol ketiga daripada dua perlawanan antarabangsanya bersama Los Ticos selepas melakukan kombinasi hantaran menarik bersama Gary Medel.

Keputusan menjadi 3-0 empat minit selepas itu dengan Ronald Matarrita memanfaatkan hantaran jauh sebelum merembat kencang ke bahagian penjuru gawang yang jelas menimbulkan keadaan tertekan di tempat duduk penyokong.

Chile mengejar dalam 20 minit terakhir perlawanan.

Sebastian Vegas menyudahkan bola susulan daripada tandukan awal Nicolas Castillo yang terkena palang gol.

Malang buat Chile apabila sepakan penalti lemah daripada Alexis Sanchez mudah diselamatkan Esteban Alvarado pada minit ke-82.

Penyerang Manchester United itu menebus kesilapan tersebut dengan jaringan pada lewat permainan, namun tidak mampu mengubah keputusan perlawanan dengan Costa Rica kental bertahan dalam tempoh enam minit masa kecederaan.