Pengendali The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, menegaskan semua pemain berpeluang membarisi kesebelasan utama Kelantan jika memberikan aksi terbaik sepanjang sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang diatur.

Jurulatih kelahiran Perlis itu juga menyifatkan status 'bintang' bukan tiket utama seseorang pemain itu disenaraikan, sebaliknya perlu berusaha gigih untuk merebutnya.

"Tentu sekali, bagi saya tiada isu pemain senior atau junior. Cuma yang pasti, pemain yang berkeinginan tinggi untuk melonjakkan pasukan ini ke tahap yang lebih baik dalam carta (liga).

"Sebagaimana saya katakan tadi, nama tidak memberi apa-apa gambaran kepada saya. Nama sekadar nama tetapi prestasi semasa yang saya tuntut daripada semua pemain.

"Sudah pasti, tiada istilah 'bintang' dalam skuad kerana import dan tempatan akan mendapat layanan yang adil daripada saya," katanya kepada media.

Yusri juga mahu menjadikan aksi menentang Perlis United malam ini sebagai medan ujian untuk menguji taktikal yang ingin diterapkannya.

"Selain itu, saya ingin melihat bagaimana pemain mencipta peluang sambil memerhatikan kesungguhan pemain beraksi di atas padang untuk menarik kehadiran penyokong.

"Penyokong hari ini bukan mahu melihat nama kamu di belakang baju tetapi ingin melihat kamu beraksi di atas padang sepertimana nama yang dicipta dalam bola sepak Malaysia," katanya.

Untuk rekod, TRWakan meneruskan siri aksi persahabatan menentang pasukan Liga M3, Perlis United, di gelanggang sendiri malam ini selepas aksi terakhir terikat seri 1-1 dengan Nara United FC.



Editor: Ammar Hakim