Marco Asensio percaya bahawa Sepanyol telah memulihkan semangat positif dalam pasukan setelah membelasah Croatia 6-0 di Elche.

Bintang Real Madrid itu menjaringkan satu gol dan membantu menghasilkan empat lagi jaringan tatkala aksi kedua La Roja di bawah bimbingan Luis Enrique berakhir dengan enam gol dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Keputusan itu menyaksikan Croatia menanggung kekalahan terbesar dalam sejarah tatkala Sepanyol mencatat kemenangan kedua berbekal enam gol setelah membelasah Argentina 6-1, Mac lalu.

Kempen Piala Dunia Sepanyol berakhir mengecewakan setelah tewas di tangan tuan rumah, Russia, ketika aksi pusingan kedua menerusi penentuan sepakan penalti sambil sebelum itu, Julen Lopetegui dipecat selaku pengendali pasukan kerana mengadakan perbincangan dengan Real Madrid tanpa memberitahu pihak Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Justeru, Asensio percaya dia perlu menghadirkan elemen yang positif dalam pasukan sebelum kejohanan sebenar bermula di bawah kendalian Enrique.

"Sebenarnya, kami melalui perlawanan yang baik. Kami mengharungi minggu antarabangsa dengan bagus," kata Asensio.

"Kami memerlukan perasaan yang sebegitu. Kami berdepan dua perlawanan besar, penyokong-penyokong membantu kami dan pastinya baik dapat beraksi di sini.

"Setiap kali berada di atas padang, saya memberikan yang terbaik. Kami mengharungi perlawanan secara kolektif yang hebat, bertahan dan menyerang bersama.

"Kami telah berdepan dengan pasukan yang mara begitu jauh dalam Piala Dunia. Aksi sebegini penting untuk tiba ke fasa terakhir."

Dalam masa sama, Enrique turut memuji dan berbesar hati melihat penampilan anak-anak buahnya, termasuk Jose Gaya dan Dani Ceballos yang melakukan penampilan pertama sambil dia menyatakan kemampuan tendangan milik Asensio sebagai sesuatu yang unik.

"Sukar untuk menangani pasukan yang memberi tekanan tinggi seperti Croatia," ujar Enrique.

"Mereka mempunyai peluang untuk menyumbat gol tetapi ternyata kami lebih unggul.

"Disiplin yang dipamerkan pemain-pemain sangat bagus. Asensio mencetuskan dua gol menarik. Dia memiliki tendangan yang bagus. Pemain-pemain seperti Gaya dan Ceballos seharusnya berbangga dengan penampilan pertama.

"Kini, sukar untuk mengkritik keadaan bola sepak di peringkat tertinggi. Kami akan mengkaji semula permainan secara menyeluruh."