Penyerang negara, Safawi Rasid, sudah melupakan peristiwa pahit yang berlaku dengan penyokong Malaysia di Hanoi sambil berjanji tidak akan mengulanginya di masa akan datang.

Safawi menjadi sasaran penyokong Harimau Malaysia setelah dia menunjukkan isyarat lucah sewaktu skuad negara tewas 0-2 di tangan Vietnam, Jumaat lalu.

Sudah meminta maaf di atas apa yang terjadi, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui apa yang berlaku adalah reaksi spontan dalam keadaan marah.

Kebanyakan pemain senior juga telah menasihatinya agar lebih berhati-hati dan bersikap tenang dalam melayani tindakan daripada penyokong.

"Ia pengalaman buat saya tetapi tiada gangguan yang menggugat saya menjelang aksi berdepan Myanmar. Selepas ini, saya perlu lebih berhati-hati dengan setiap tindakan," katanya.

Mengenai prestasinya dalam saingan Piala Suzuki AFF, Safawi masih belum berpuas hati dengan apa yang ditampilkan.

Dia menjelaskan masih tercari-cari sentuhan seperti mana sewaktu membarisi skuad B-23 kebangsaan.

"Dalam saingan Piala AFF, masih belum tiba rezeki saya. Mungkin dalam aksi keempat nanti, jika diberi peluang, saya akan membuat yang terbaik dan mendapatkan keputusan positif."