Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memastikan segala keperluan pasukan kebangsaan untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 diutamakan.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe kini berada dalam posisi selesa di tangga kedua Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Hanya Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berada di kedudukan keempat liga dengan enam mata memiliki kelebihan satu perlawanan sementara pendahulu, Vietnam, unggul dengan 11 mata, diikuti Thailand di tangga ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot selepas lima perlawanan.

Timbalan Presiden FAM merangkap pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, memberi jaminan skuad Harimau Malaya akan dipersiapkan di tahap maksimum dengan segala elemen diperlukan barisan kejurulatihan diletakkan sebagai keutamaan.

"Kami akan berjumpa dengan Cheng Hoe hujung tahun ini untuk dia membentangkan pelan perancangan pasukan. Selain itu, kami meminta dia tampil dengan cadangan bagaimana untuk memperbaiki dan memperkuatkan pasukan kebangsaan.

"FAM akan memberikan sokongan lebih daripada 100 peratus. Selagi permintaan Cheng Hoe itu bukan bulan dan bintang, insyaAllah kami akan bagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di Petaling Jaya hari ini.

Yusoff berkata Cheng Hoe sebelum ini mahukan perlawanan pemanas badan menentang pasukan dari Asia Barat sebagai persediaan menghadapi dua aksi berdepan UAE di Dubai dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, masing-masing pada 26 dan 31 Mac tahun depan

"Idea dia adalah untuk mengadakan perlawanan di rantau itu supaya barisan pemain lebih bersedia daripada segenap aspek bila berlawan dengan UAE. Di FAM, fokus kami adalah macam mana untuk mempersiapkan pasukan berdepan dua perlawanan Mac depan.

"Kalau satu perlawanan (persahabatan) tidak cukup, dia mahukan dua, kami akan beri dua perlawanan," jelasnya.

Dalam masa sama, Yusoff berkata pasukan kebangsaan sekurang-kurangnya perlu mendapatkan empat mata daripada dua perlawanan tersebut dengan tiga mata wajib diraih ketika menentang Vietnam untuk mencerahkan peluang layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

"Empat mata akan meletakkan kita berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di kedudukan kedua. Kalau kami berjaya melakukan sesuatu di Bangkok, Jun depan, ia satu bonus. Ini sasaran kita," katanya.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah hampir 30 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

-- BERNAMA