Penjaga gol Juventus, Gialuigi Buffon, tidak dapat menerangkan sebab pasukannya mempamerkan aksi longlai apabila tewas 4-1 di tangan Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Juara Serie A itu berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama selepas gol penyamaan hasil sepakan voli Mario Mandzukic memerangkap penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas.

Namun, segala-galanya berubah dalam separuh masa kedua apabila Casemiro, Cristiano Ronaldo, dan Marco Asensio berjaya menjaringkan gol untuk mengesahkan kejuaraan buat skuad Los Blancos, sekaligus menjadi pasukan pertama memenangi UCL untuk dua tahun berturut-turut.

Kekalahan itu juga menyaksikan Buffon sekali lagi terpaksa berputih mata selepas tewas dalam final pada tahun 2003 dan 2015 di tangan AC Milan dan Barcelona.

“Kami amat kecewa, bermain baik dalam separuh masa pertama tetapi kami berasa ia sudah mencukupi.

“Saya tidak dapat menerangkan bagaimana kami mempamerkan aksi sebegitu dalam babak kedua. Real Madrid berhak untuk memenangi perlawanan,” kata Buffon.

“Mereka beraksi pada prestasi yang sepatutnya,” tambahnya.