JERMAN 2 PERU 1

Pemain tengah, Nico Schulz, menjaringkan gol pada minit ke-85 untuk memberikan Jerman kemenangan pertama sejak aksi Piala Dunia apabila menundukkan Peru dalam aksi persahabatan di Rhein-Neckar-Arena, awal pagi tadi.

Rembatan Schulz pada awalnya tampak tidak berbahaya sebelum penjaga gol Peru, Pedro Gallese, melakukan kesilapan sehingga gagal menangkap bola dengan kemas untuk membolehkan tonggak Hoffenheim itu meraikan jaringan.

Schulz menjadi antara pemain yang menghadiahkan gol buat Peru sebelum itu apabila gagal menyekat kemaraan Luis Advincula di bahagian kiri sebelum pemain Rayo Vallecano itu menewaskan Marc-Andre Ter Stegen dari sudut sukar.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Joachim Low itu mengikat kedudukan tiga minit kemudian menerusi lambungan Julian Brandt dan gol kemenangan Schulz membolehkan Jerman kini memandang ke depan dalam usaha untuk melupakan kempen buruk di Russia.

Jerman bermula garang apabila percubaan Marco Reus selepas dua minit permainan dinafikan Gallese sebelum penjaga gol itu menghalang tandukan Matthias Ginter daripada sepakan sudut tatkala Peru membuka tirai jaringan pada minit ke-22.

Advincula jelas diberikan terlalu banyak ruang sambil Schulz, Niklas Sule dan Ter Stegen sekadar mampu melihat bola masuk ke gawang.

Tuan rumah mempamerkan kebangkitan apabila Brandt bijak menyungkit bola melepasi penjaga gol setelah pemain sayap Bayer Leverkusen itu menerima umpanan Toni Kroos.

Kedua-dua pasukan mencipta peluang dalam babak kedua, menyaksikan Timo Werner mensia-siakan usaha hebat Brandt sebelum Jefferson Farfan melepaskan rembatan liar susulan hantaran daripada Advincula.

Tatkala aksi tampak bakal berakhir dengan keputusan seri, kesilapan Gallese ketika cuba menangkap percubaan Schulz memberikan gol kemenangan buat Die Mannschaft.