ITALI 6 LIECHTENSTEIN 0

Fabio Quagliarella berasakan dia seperti tidak berusia 36 tahun ketika menjadi penjaring gol tertua yang membantu Itali menundukkan 10 pemain Liechtenstein 6-0 dalam aksi Kumpulan J, pusingan kelayakan Euro 2020 di Parma, awal pagi tadi.


Penyerang Sampdoria, Quagliarella, -- penjaring terbanyak Serie A musim ini dengan 21 gol -- menyempurnakan dua sepakan penati dalam babak pertama yang mencetus kemenangan buat skuad kendalian Roberto Mancini itu.

Aksi di Parma merupakan penampilan kompetitif pertama pemain veteran itu sejak perlawanan menentang Cyprus dalam kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2009 dan kali pertama sebagai kesebelasan utama Azzurri sejak perlawanan persahabatan dengan Switzerland pada 2010.

Selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan dengan Finland, Sabtu lalu, Quagliarella meluahkan penghargaannya kepada Mancini, rakan sepasukan dan penyokong yang bangun memberikan penghormatan kepadanya selepas dia dikeluarkan pada 18 minit terakhir perlawanan.

Quagliarella berkata kepada Rai: "Saya berusia 36 tahun, namun saya tidak rasakannya. Ia hari yang indah dengan dua gol yang menakjubkan.

"Saya sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa, jadi untuk kembali membantu pasukan ini memberikan perasaan yang sangat hebat.

"Saya amat gembira dan berasa amat cergas.

"Saya tenang dan sentiasa berlatih. Itulah asasnya. Sampdoria telah menjadikan saya seorang pemain yang baik semula.

"Saya berterima kasih kepada Mancini, yang memerhatikan saya sepanjang musim ini dan memberikan saya peluang seperti ini.

"Saya juga berterima kasih kepada Jorginho dan Leonardo Bonuci kerana membenarkan saya mengambil sepakan penalti.

"Mereka menggesa saya untuk mengambilnya walaupun itu adalah peranan mereka.

"Saya menyangkakan selepas jaringan pertama, salah seorang daripada mereka akan mengambil yang kedua, namun mereka mengatakan ia adalah malam saya," katanya.

Quagliarella menambah: "Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana mendesak saya untuk mendapatkan jaringan ketiga dalam babak kedua.

"Ia tidak tiba tetapi saya berterima kasih kepada mereka kerana kesediaan mereka membantu saya dan ia adalah luar biasa.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana memberikan penghormatan kepada saya.

"Ia adalah kenangan yang akan sentiasa saya ingati.

"Kami adalah Itali dan ini adalah cara kami bermain.

"Kami berada di puncak kumpulan dan ia adalah skuad muda yang hanya boleh berkembang."

Sebelum ini, penjaring tertua itali adalah Christian Panucci, yang menjaringkan gol ketika berdepan Romania dalam Euro 2008 pada usia 35 tahun.

Kemenangan terbesar Itali sejak menewaskan Turki pada 1962 itu juga menyaksikan Stefano Sensi menjaringkan gol peringkat antarabangsa pertamanya, Marco Verratti menjaringkan gol buat negara itu sejak enam tahun lalu dan gol dalam penampilan pertama Leonardo Pavoletti, yang menggantikan Quagliarella.

Moise Kean turut tersenarai sebagai penjaring dan Mancini berkata: "Kami menggunakan pendekatan yang tepat sejak awal permainan.

"Kemenangan ini mungkin sudah dijangka, namun ia adalah penting untuk mengekalkan tahap tumpuan yang tepat, menghasilkan banyak peluang dan menjaringkan banyak gol.

"Bosnia dan Greece mungkin akan menjadi penentu kepada kumpulan ini Jun depan," katanya.