Jose Mourinho mengakui bahawa beliau sudah menduga masalah ketika Phil Jones melangkah untuk mengambil sepakan dalam kekalahan penentuan penalti 7-8 Manchester United kepada Derby County dalam Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.

United sekali lagi meraih keputusan mengecewakan setelah diikat 2-2 dalam tempoh 90 minit permainan apabila Marouane Fellaini menyelamatkan tuan rumah yang beraksi dengan 10 pemain -- penjaga gol, Sergio Romero, dibuang padang -- dalam masa kecederaan babak kedua.

Sebelum tandukan Fellaini itu, Jack Marriott sepatutnya memberikan kemenangan kepada Derby apabila menyumbat gol pada minit ke-85 selepas pemain yang dipinjamkan dari Liverpool, Harry Wilson, membatalkan jaringan pembukaan Juan Mata.

Selepas 15 tendangan pertama disempurnakan, usaha lemah Jones mudah dipatahkan oleh Scott Carson.

Justeru, apabila sepakan itu melarat kepada pemain pertahanan seperti Jones dan Eric Bailly, Mourinho mengakui bahawa beliau tidak menaruh kepercayaan yang tinggi.

"Saya mengulangi apa yang saya katakan dalam perlawanan terakhir bahawa pihak lawan memiliki keyakinan kerana perlawanan ini terbuka dan mereka bermain dengan baik," kata Mourinho kepada Sky Sports.

"Kami perlu turun dan membunuh permainan tetapi kami gagal. Kami gagal menguasai awal babak kedua dan hanya selepas jaringan penyamaan itu, barulah kami memberi reaksi yang tidak saya gemari.

"Saya lebih suka menjadi proaktif tetapi kemudian kami berjuang selepas seri 1-1 dan sejurus kad merah, kami berada dalam situasi yang sedikit sukar.

"Dengan kekurangan (pemain), kami bangkit untuk mempertahankan maruah daripada kumpulan pemain yang enggan menerima kekalahan dan tetap mencuba sehingga detik terakhir.

"Kemudian dalam penentuan penalti, seseorang akan membuat kesilapan. Apabila saya melihat (penalti) berlanjutan kepada tendangan keenam, ketujuh, saya sedar bahawa kami akan menghadapi masalah dengan Jones, dengan Eric. Saya menghidu kami akan ditimpa masalah lagi."

Mourinho kemudian membidas soalan mengenai sama ada dia terlalu mengkritik United.

"Anda fikir saya mengkritik? Saya tidak fikir begitu," kata Mourinho. "Itu bukan mengkritik pasukan, saya bersama-sama pasukan.

"Saya tidak fikir anda betul apabila anda mengatakan saya mengkritik. Adakah anda mahu saya menganalisis atau pergi?

"Anda mahu saya katakan kami bermain perlawanan yang luar biasa? Padahal lawan bermula lebih baik daripada kami dalam babak kedua dan kami tidak dapat menandingi intensiti tersebut."