Gianluigi Buffon terus bermotivasi untuk membuktikan dia berhak tergolong dalam kalangan pemain peringkat tertinggi dan mahu orang ramai berasa sedih sebaik kerjayanya berakhir.

Penjaga gol Juventus itu berada di kemuncak prestasi sebagaimana ketika pasukannya menang 2-0 ke atas AS Monaco untuk mengawal sepenuhnya aksi perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stade Louis II, awal pagi semalam.

Ia adalah aksi tanpa bolos keenam berturut-turut Buffon dalam pertandingan Eropah itu -- satu rekod kelab -- selepas menafikan percubaan daripada Kylian Mbappe, Radamel Falcao dan pemain gantian, Valere Germain, untuk membuktikan betapa pentingnya watak yang dimainkannya.

Pemain berusia 39 tahun itu menegaskan dia berjaya mengukuhkan reputasinya kerana dorongan untuk terus mengecapi kejayaan tanpa memikirkan untuk merangkul Anugerah Ballon d'Or.

"Dalam setiap perlawanan, saya ingin menunjukkan bahawa saya layak untuk bermain di peringkat ini di sebalik umur saya," katanya kepada UEFA selepas perlawanan.

"Saya bekerja keras setiap hari untuk mencapai ini. Pada hari saya bersara, saya mahu orang ramai berasa sedih mengenainya.

"Saya tidak tahu jika saya mampu mencapainya atau tidak tetapi bermain dalam sebuah pasukan seperti ini sudah pasti membantu. Apa yang penting adalah untuk bersedia apabila pasukan memerlukan saya. Selagi saya boleh berbuat demikian, saya menganggap diri saya berpuas hati dan gembira.

"Ia (memenangi Ballon d'Or) bukan sesuatu yang saya fikirkan dan bukan dalam fikiran saya. Saya menghabiskan tenaga yang begitu banyak untuk memastikan diri saya dalam prestasi yang baik dalam permainan ini untuk menjadi berguna kepada rakan sepasukan."

Buffon berasakan Juve hampir menampilkan aksi sempurna tatkala mereka membuat langkah besar ke arah perlawanan akhir kedua dalam tempoh tiga tahun.

"Kami mempamerkan permainan yang hebat, ia betul-betul aksi yang kami perlukan untuk terus tidak dibolosi di Monaco kerana mereka mempunyai rangkaian serangan yang hebat," katanya.

"Jika anda tidak mempunyai keampuhan ini dan juga kualiti ketika menyerang, semuanya akan menjadi lebih rumit.

"Kami berkata selepas seri dengan Barcelona, kami mahu membuat peningkatan, hari demi hari.

"Kami menghampiri objektif kami dan ia akan menjadi naif untuk tidak bekerja keras sehabis mungkin dari sekarang."